Monday 30 January 2012

Bersugi sunnah Rasulullah


Takrif siwak: Apakah ta’rif siwak? Siwak menurut bahasa adalah ‘الدلك’ bererti mengosok atau menyental. Manakala menurut istilah ‘دلك الأسنان وما حواليها بكل شيء خشن’ bererti mengosok gigi dan sekitarnya dengan segala sesuatu yang kesat (atau kasar) atau ‘استعمال عود أو نحوه كالفرشاة اليوم في تنظيف الأسنان وما حولها كاللسان واللثة لإذهاب التغير وآثار الطعام’ yang bermaksud penggunaan kayu siwak atau yang seumpamanya seperti berus gigi pada zaman sekarang, bagi membersihkan gigi dan apa-apa yang berada disekitarnya seperti lidah dan gusi bagi menghilangkan perubahan bau mulut dan sisa-sisa makanan.
Hukum bersiwak: Setelah mengetahui ta’rif siwak maka mari kita lihat pula hukum bersiwak. Hukum bersiwak terbahagi kepada 5 iaitu:
Wajib: Jika siwak itu diperlukan untuk menghilangkan najis dimulut, atau menghilangkan bau yang sangat buruk untuk yang menghadiri sholat Jum’at, dan wajib juga apabila di nadzarkannya.
Sunat: Hukum asal bersiwak, dan lebih di tekankan lagi (yakni sunat mu’akkad) ketika berwudhu’ (sunat juga bagi orang yang tak dak gigi, ketika berwudhu maupun sholat), sholat (yakni bagi setiap takbiratul ihram samada sholat fardhu atau sunat bahkan sekiranya seseorang itu lupa bersiwak tatkala takbiratul ihram kemudian ingat ia akan dia didalam sholatnya, sunatlah baginya bersiwak di dalam sholatnya dengan perbuatan yang sedikit – demikian yang telah disebut akan dia oleh Syeikh Ibn Hajar dan Syeikh Ramli), ketika hendak membaca Al Qur’an, ketika hendak masuk ke dalam rumah, ketika hendak tidur, ketika bangun dari tidur dan tatkala berubah bau mulut (disebabkan panjang masa diam – tak buka mulut – atau kerana lama tidak makan)
Makruh: Bagi orang yang berpuasa bersiwak setelah gelincir matahari. Namun Imam an-Nawawi memilih pendapat tidak makhruh.
Khilaful aula: Yakni memakai kayu siwak kepunyaan orang lain dengan keredhaannya, kecualilah untuk mengambil keberkatannya maka ianya disunatkan sepertimana Sayyidatuna ‘Aisyah رضي الله عنها yang pernah menggunakan siwaknya Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم
Haram: Sekiranya menggunakan kayu siwak orang lain tanpa keizinannya dan tanpa diketahui keredhaannya.
Alat bersiwak: Yang utama adalah kayu aarak, kemudian pelepah tamar (inilah siwak yang digunakan diakhir hayat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.) kemudian kayu zaitun kemudian setiap kayu yang mengeluarkan bau yang wangi seperti gaharu dan lain-lain kecuali kayu raihaan – kerana ia dilarang oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kerana mewariskan (menyebabkan) penyakit kusta – kemudian kayu-kayu lain (yang tidak memudharatkan kesihatan).
Masalah: Bolehkah bersiwak menggunakan berus gigi sepertimana yang ada sekarang? Jawabnya, berdasarkan kepada takrif bersiwak menurut istilah syarak sepertimana disebut diatas maka pengunaan berus gigi atau kain yang kesat (sekiranya tiada alat siwak yang lain), maka secara langsung termasuk di dalam maksud penggunaan siwak. Adapun yang afdhalnya adalah menggunakan kayu aarak seperti yang disebut kerana mengikuti akan perbuatan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Tertib memakai kayu siwak yang baik bagi setiap alat bersiwak diatas: Memakai kayu siwak yang dibasahi dengan air bersih terlebih dahulu; memakai kayu siwak yang dibasahi air mawar; memakai kayu siwak yang dibasahi air ludahnya; memakai kayu siwak yang lembap; memakai kayu siwak yang kering.
Kadar panjang kayu siwak: Disunatkan kadar panjang kayu siwak tidak melebihi sejengkal ( jengkal orang yang sederhana besarnya) dan tidak pula kurang dari ukuran 4 jari. Makruh kayu siwak melebihi sejengkal kerana dikatakan syaitan akan bertenggek bahagian yang lebih itu. Wallahu a’lam. Saiznya pula hendaklah sederhana, tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil.
Cara memegang kayu siwak: Disunatkan memegang kayu siwak dengan tangan kanan. Dan cara memegangnya sepertimana disebut oleh al-Habib ‘Abdullah bin Hussin Balfagih sunnah dijadikan kelingking dan ibu jari dibawah kayu siwak (yakni jari kelingking dibahagian belakang dan ibu jari dibahagian depan) manakala 3 jari yang lain (telunjuk, tengah dan manis) diatas kayu siwak. Lihat gambar disebelah dan dibawah.
Cara bersiwak: Sunat bersiwak pada lintang gigi (yakni secara melintang, melebar) dan dimakhruhkan dengan cara membujur (memanjang) pada gigi kerana ia boleh menyebabkan gusi akan berdarah. (lihat Syarah Shahih Muslim oleh an-Nawawi dan Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari). Disunatkan bersiwak pada lidah dan langit-langit mulut yakni dengan cara membujur.
Diantara cara yang dianjurkan oleh ulama: (Dan sunat) memulai bersugi itu pada pihak [gigi] geraham diatas dan bawah dan luar dan dalam, maka dilakukannya [kayu sugi] hingga pertengahan [jajaran gigi]. Maka dimulainya pula pada geraham kiri seperti demikian itu [seperti dilakukan pada geraham sebelah kanan], maka dilakukannya hingga pertengahan [jajaran gigi].
Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى menerangkan bahwa disunnahkan bersiwak memulai dari tengah jajaran gigi atas, lalu menggosokkan siwak ke kanan sampai ujung barisan gigi kanan atas, lalu turun ke barisan gigi kanan bawah, lalu digosokkan pada barisan gigi bawah ketengah, lalu naik lagi ke barisan gigi atas dan digosokkan ke kiri sampai ujung barisan gigi kiri atas, lalu turun ke ujung barisan gigi kiri bawah, lalu digosokkan ketengah barisan gigi bawah (seumpama menulis angka delapan ‘∞’. Demikian ini untuk perhitungan 1 kali, maka diulangi sebanyak 3 kali).
Disunatkan membersihkan kayu siwak sebelum dan selepas menggunakannya. Adapun cara bersiwak ini tiadalah ketentuan yang khusus, maka cara apapun adalah sudah terhasil baginya pahala sunnah. Menurut Ibnu Daqiq seseorang itu telah dihitung sebagai bersiwak walaupun hanya melalukan kayu siwak sepanjang mulutnya (yakni melalukan kayu siwak atas jajaran gigi atas dan bawah). Dan para shahabat رضي الله عنهم menyimpan atau meletakkan kayu siwak mereka dicelah telinga kiri.
Niat-niat bersiwak: Niat ber’amal dengan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.; membersihkan mulut kerana hendak bermunajat kepada Allah di dalam sholat, dan dhikir dan membaca al-Qur’an; memutihkan gigi dan mengharumkan bau mulut; untuk kebersihan kerana ianya sebahagian daripada iman; mendatangkan keredhaan Allah dan lain-lain.
Niat bersiwak adalah :
نويت الاستياك سنة لله تعالى
Sahaja aku bersiwak sunat kerana Allah Ta’ala
Bagi seseorang yang bersiwak dalam rangkaian ibadah, seperti sebelum wudhu dan lain-lain, tidak diharuskan melakukan niat siwak sebab niat ibadah tersebut sudah mengandung niat bersiwak.
Doa ketika mula bersiwak: Elok dibaca doa dibawah walaupun ianya tiada asal (yakni tidak warid daripada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم), kerana tiada mengapa mengamalkannya. Doanya:
اَللَّهُمَّ بَيِّضْ بِهِ أَسْنَانِيْ وَشُدَّ بِهِ لِثَاتِيْ وِثَبِّتْ بِهِ لِهاَتِيْ وَأَفْصِحْ بِهِ لِسَانِي وَبَارِكْ لِيْ فِيْهِ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
Wahai Tuhanku, putihkanlah dengannya gigiku, kuatkanlah dengannya gusiku, teguhkanlah dengannya lisanku, fasihkanlah dengannya lisan pengucapanku dan berkatilah aku padanya wahai Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Bilakah disunatkan bersiwak: Ketika setiap kali melaksanakan sholat, yakni setiap kali sebelum takbiratul ihram; ketika hendak sujud tilawah atau syukur; ketika hendak menghadiri sholat Jum’at; ketika hendak thawaf; ketika hendak membaca al-Qur’an; ketika hendak membaca hadits; ketika hendak berdhikruLlah; ketika berubah bau mulut kerana diam yang lama; ketika sebelum dan sesudah makan; ketika sebelum tidur dan selepas bangun dari tidur; ketika hendak masuk ke dalam masjid; ketika hendak masuk kedalam rumah; ketika nazak; ketika membaca kitab-kitab ilmu agama dan juga kitab-kitab ilmu alat; ketika berwudhu atau bertayammum, ketika hendak mandi junub, ketika makan sesuatu makanan yang berbau; ketika sebelum berjima’ dan banyak lagi.
Kelebihan bersiwak: Terdapat banyak kelebihannya. Ulama berkata terdapat hampir 70 kelebihan bersiwak. Antaranya: 2 rakaat sholat dengan bersiwak lebih baik daripada tidak bersiwak – yakni menggandakan pahala ‘amalan; mendatangkan keredhaan Allah, membersihkan gigi, mewangikan bau nafas, mencerahkan mata (menajamkan penglihatan), memudahkan keluarnya ruh tatkala sakaratul maut, menambah kecedasan, menguatkan ingatan/hafalan, melambatkan penuaan, melambatkan tumbuh uban, memutihkan gigi, menguatkan tulang belakang, memudahkan untuk melafazkan kalimah syahadah tatkala nazak, menguatkan gigi ………….. dan banyak lagi.
Cukupkah dahulu perkongsian mengenai siwak, untuk memendekkan bicara. InsyaAllah sekiranya ada kesempatan al-Fagir akan tulis beberapa permasalahan yang berkaitan dengan siwak ini. Mohon para pengunjung membetulkan mana-mana yang tersalah atau tersilap, kerana manusia itu tiada sunyi ia daripada berbuat kesilapan. Akhirkata marilah kita mengamalkan sunnah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ini, iaitu bersiwak dan istiqamah dengannya. – “Menyintai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ada tanda-tandanya. Barangsiapa yang dzahir pada dirinya tanda-tanda tersebut, adalah ia benar-benar mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Dan sekiranya tidak, maka cintanya dakwaan semata-mata. Antara tanda-tandanya adalah: Meneladani Bagindaصلى الله عليه وآله وسلم samada dalam percakapan, perbuatan dan ahwal, dzahir dan bathinnya” – al-‘Allamah Hadratus Syaikh Hasyim Asy’ari رحمه الله تعالى
sekian daripada alfagir ilaLlah abu zahrah ‘abdullah thahir al-qadahi
dhuha, di taman seri gombak
itsnain, 26 Jumadilakhirah 1432/30 Mei 2011
Daftar rujukan:
Al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah oleh al-Habib Hassan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf , Dar al-‘Ilm wa ad-Da’wah, cetakan pertama ,2003/1423
Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Dr.Muhammad al-Zuhaily cetakan Darul Qalam jilid 1
Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Arsyad bin ‘Abdullah al-Banjari, Maktabah wa Matba’ah Sulaiman Mar’ie, Singapura
Fawaid as-Siwaak Syar’iyyan wa Thibbiyan oleh al-Habib Muhammad bin ‘Alwi al-Aidarus @ Habib Sa’ad, cetakan pertama 2009/1430
Syarah Shahih Muslim oleh Imam an-Nawawi, cetakan Dar Ihya at-Turat al-‘Arabi, Jilid ke-2

1 comment:

  1. Alhamdulillah syukur.mohon kongsi artikel Tuann sebarkan. Subhanallah Masyaallah, sungguh bermanafaat.
    Jazakallah khayron katthira.

    ReplyDelete