Monday 30 January 2012

Story on Khurafat


KHURAFAT,MISTIK DAN KEBATINAN VIRUS AJARAN SESAT


1.       MUQADDIMAH

إن الحمد لله ، نحمده ونستعينه ونستغفره ، ونعوذ با الله من شرور أنفسنا ومن سيئات  أعمالنا ، من يهده الله فلا مضل له و من يضلله  فلا هادي له.وأشهد أن لا إله  إلا الله وحده  لا  شريك له ، وأشهد أن سيدنا محمدا عبده ورسوله. أما بعد
           
Segala pujian kita panjatkan kepada Allah Subhanu wa Ta‘ala yang telah menyempurnakan kehidupan manusia dengan pemberian al-Quran sebagai kitab panduan yang tidak ada kekurangan sepertimana firman Allah Subhanu wa Ta‘ala:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا

Yang bermaksud: Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridai Islam itu jadi agama bagimu[1].

Islam adalah undang-undang kearah menjadikan kehidupan manusia lebih berkualiti kerana datangnya dari pencipta alam itu sendiri, sebab itu ia sesuai disetiap zaman dan tempat bahkan tidak akan sesat selamamana kita berpegang dengan dua panduan Islam yang utama, seperti sabdaan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

قَالَ  رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ   :تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Yang bermaksud: Aku tinggalkan pada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selamamana kamu berpegang dengan keduanya iaitu kitab Allah Subhanu wa Ta‘ala dan sunnah Nabinya[2]

Walaupun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah wafat dan membawakan Islam kepada seluruh manusia dan jin sejak 1400 tahun lebih yang lalu, namun masih lagi wujud golongan yang mengamalkan dengan amalan khurafat,mistik kebatinan yang akhirnya menyimpang dari ajaran Islam yang syumul ini

Walaupun manusia pada hakikatnya sudah bijak sehinggakan ramai yang sudah kemenara gading bahkan ada yang sudah kebulan tetapi tidak kurang juga dikalangan mereka yang terpedaya dengan ajaran-ajaran khurafat yang diamalkan didalam kehidupannya bahkan sudah sebati sehinggakan susah untuk dipulihkan

Amalan-amalan khurafat pada hakikatnya merupakan virus kearah merosakkan akidah dan pegangan hidup seseorang dan umat Islam yang lain .

Bagi membendung gejala ini, Alhamdulillah, satu seminar yang seumpama ini diadakan bagi memperjelaskan kepada masyarakat Islam terhadap amalan-amalan yang bercanggah dengan ajar Islam beserta dalil dari al-Quran,al-Sunnah dan kitab-kitab ulama muktabar

Terima kasih diucapkan kepada pihak Darul Ifta’ Kerajaan Negara Brunei yang sudi menjemput al-faqir sebagai pembentang kertas kerja yang berjodol: KHURAFAT,MISTIK DAN KEBATINAN VIRUS AJARAN SESAT, yang al-faqir susun dalam jangka waktu yang begitu singkat dan kekurangan waktu serta kurang rujukannya.

Mudah-mudahan coretan yang tak seberapa ini akan dapat memberikan manfaat dan panduan pada diri al-faqir serta sahabat handai dalam memahami dengan lebih mendalam tentang ajaran yang bercanggah dengan Islam khususnya amalan-amalan khurafat

           Al-Faqir Abu Muhammad Al-Naqsyabandiy Al-Filfilani
Jumaat 13 July  2007 bersamaan 28 Jumada al-Akhir 1428


2.         DEFINISI KHURAFAT,MISTIK DAN KEBATINAN VIRUS AJARAN SESAT

Sebelum tirai  ini dibuka dengan lebih luas marilah kita selidiki tentang maksud tajuk yang akan dibincangkan menurut kacamata etimologi (segi bahasa) dan kemudian-nya dengan definisi menurut terminologi (istilah)

Menurut Kamus Dewan [3] perkataan-perkataan dibawah ini diertikan dengan :

            a-         Khurafat: Kepercayaan yang karut,dongeng,tahyul[4].

            b-         Mistik: Suluk,tasawuf,keadaan ghaib yang tidak dapat diselami oleh pemikiran manusia; keanehan, keajaiban[5].

            c-         Kebatinan: Perihal batin iaitu hati,perasaan dalam hati :tersembunyi; ghaib,tidak kelihatan[6].

            d-         Virus: Kuman yang lebih halus dari bakteria yang boleh menyebabkan penyakit pada manusia,haiwan atau tumbuhan[7].

            e-         Ajaran: Segala sesuatu yang diajarkan,nasihat,petunjuk, teori dan hukuman[8] .

            f-          Sesat: Tidak mengikut jalan yang betul,tersalah,terkeliru,menyimpang dari jalan yang sebenar[9].

Khurafat menurut definisi yang dipakai oleh JAKIM ialah: Cerita-cerita yang memepesonakan yang dicampuradukkan dengan perkara dusta, khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan pemujaan atau kepercayaan yang amat bertentangan dengan ajaran Islam. Semua perkara yang berkaitan perlu dijauhi oleh semua orang Islam, kerana ia merupakan dosa [10].

Ajaran Sesat seperti yang tersebut didalam Kamus Dewan ialah: Ajaran yang terpesong daripada akidah atau syariat agama Islam[11].

Menurut BAHEIS JPM terdapat 6 kriteria yang boleh dijadikan garis panduan bagi menentukan sesuatu ajaran itu sesat ataupun tidak yang akan disebutkan pada bahagian yang keenem nanti.

Menurut pembahas, khurafat,mistik,kebatinan adalah perkara yang berlainan dari segi sebutan dan lafaz tetapi sama pada maknanya yang merujuk kepada persoalan amalan-amalan dan tingkah laku yang bercanggah dengan ajaran Islam dan adat kebiasaan manusia yang sejahtera akal pemikirannya yang dapat diketegorikan sebagai ajaran sesat


3.         HADITH KHURAFAT

Yang dimaksudkan dengan hadith khurafat iaitu hadith yang merujuk kepada asal usul perkataan khurafat dan kaitan alam jin (kebatinan) dengan manusia, seperti yang disabdakan oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

حَدَّثَنَا أَبُو النَّضْرِ حَدَّثَنَا أَبُو عَقِيلٍ يَعْنِي الثَّقَفِيَّ حَدَّثَنَا مُجَالِدُ بْنُ سَعِيدٍ عَنْ عَامِرٍ عَنْ مَسْرُوقٍ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : حَدَّثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نِسَاءَهُ ذَاتَ لَيْلَةٍ حَدِيثًا فَقَالَتْ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَانَ الْحَدِيثُ حَدِيثَ خُرَافَةَ فَقَالَ أَتَدْرُونَ مَا خُرَافَةُ إِنَّ خُرَافَةَ كَانَ رَجُلًا مِنْ عُذْرَةَ أَسَرَتْهُ الْجِنُّ فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَمَكَثَ فِيهِنَّ دَهْرًا طَوِيلًا ثُمَّ رَدُّوهُ إِلَى الْإِنْسِ فَكَانَ يُحَدِّثُ النَّاسَ بِمَا رَأَى فِيهِمْ مِنْ الْأَعَاجِيبِ فَقَالَ النَّاسُ حَدِيثُ خُرَافَةَ ، قَالَ أَبِي أَبُو عَقِيلٍ هَذَا ثِقَةٌ اسْمُهُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَقِيلٍ الثَّقَفِيُّ

Maksudnya: Pada suatu malam Rasulullah saw bersembang-sembang dengan para isterinya tentang suatu perkara, lalu salah seorang dikalangan mereka berkata: perkara ini seperti cerita khurafat. Baginda seraya bersabda :Adakah kalian tahu apa itu khurafat ? Sesungguhnya khurafat itu ialah seorang lelaki dari bani ‘Uzhrah (kabilah Yaman) yang telah disembunyikan oleh jin pada zaman jahiliyyah, lalu dia tinggal bersama golongan jin beberapa ketika kemudian golongan jin itu menghantarnya pulang kembali ke alam manusia lalu dia menceritakan kepada manusia tentang apa yang telah dilihatnya pada mereka (golongan jin) daripada perkara ajaib. Maka sebab itulah manusia berkata (tentang perkara-perkara pelik sebagai) cerita khurafat [12]

حدثنا محمد بن يونس العصفري قال : ثنا يزيد بن عمرو بن البراء الغنوي قال : نا سعيد بن عبد الله السلمي قال : نا علي بن أبي سارة ، عن ثابت البناني ، عن أنس بن مالك ، عن عائشة ،  أن رسول الله صلى الله عليه وسلم حدثها بحديث وهو معها في لحاف ، فقالت : بأبي ، وأمي يا رسول الله ، لولا تحدثني هذا الحديث لظننت أنه خرافة ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « وما حديث خرافة يا عائشة ؟ » قالت : الشيء إذا لم يكن قيل حديث خرافة  ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « إن أصدق الحديث حديث خرافة ، رجل من بني عذرة ، سبته الجن ، وكان يكون معهم ، فإذا استرقوا السمع أخبروه ، فيخبر به الناس ، فيجدونه كما قال »

 Maksudnya: Pada suatu malam Rasulullah saw bersembang-sembang dengan ‘Aisyah tentang suatu perkara, sedangkan Baginda ketika itu bersamanya didalam satu selimut lalu ‘Aisyah berkata :Demi engkau sebagai ibu dan bapaku Wahai Rasulallah, jika engkau tidak ceritakan padaku cerita ini nescaya aku masih menganggap cerita itu adalah cerita khurafat. Rasulullah saw seraya bersabda :Adakah kamu tahu apa itu cerita khurafat wahai ‘Aisyah ?’Aisyah lantas menjawab :Sesuatu yang (pelik dan)tidak berlaku dikatakan cerita khurafat. Baginda saw bersabda:Sesungguhnya sebenar-benar cerita ialah cerita khurafat iaitu seorang lelaki dari bani ‘Uzhrah (kabilah Yaman) yang telah disembunyikan oleh jin lalu dia tinggal bersama golongan jin, kemudian golongan jin itu menghantarnya pulang kembali ke alam manusia lalu dia menceritakan kepada manusia tentang apa yang telah dilihatnya pada mereka (golongan jin) Maka sebab itulah manusia berkata (tentang perkara-perkara pelik sebagai) cerita khurafat[13]

Berdasarkan beberapa riwayat diatas ini jelas menunjukkan bahawa perkataan khurafat digunakan oleh Baginda saw dan para sahabat yang merujuk kepada perkara-perkara pelik dan sesuatu cerita yang menyalahi adat kehidupan atau tidak dapat diterima oleh akal manusia seperti mempercayai bahawa sesuatu objek ditakuti oleh golongan jin dan hantu atau objek tertentu boleh mendatangkan keuntungan serta menyelamatkan seseorang dan sebagainya

Berlainan pula sesuatu yang pelik dan tidak lojik oleh akal manusia tetapi jelas dikhabarkan didalam Al-Quran dan Al-Sunnah maka ia wajib diterima dan diimani yang dinamakan dengan Al-Sam’iyyat  seperti persoalan azab kubur, hari kebangkitan, mizan, syurga, neraka dan sebagainya[14].

Juga terdapat beberapa perkara pelik yang menyalahi adat yang berlaku kepada para Ambiya’ yang dinamakan sebagai Mukjizat dan Irhash, yang berlaku kepada para Auliya’ dinamakan sebagai Karamah,yang berlaku kepada golongan awam yang soleh dinamakan sebagai Ma’unah,yang berlaku kepada orang fasik dinamakan sebagai Istidraj ,yang berlaku kepada seorang yang mendakwa sebagai seorang rasul Ihanah dan yang berlaku kepada orang kafir dinamakan sebagai Sihir[15].


[1] Al-Quran Surah al-Maidah ayat 3
[2] Hadith ini telah dikeluarkan oleh Imam Malik didalam al-Muwaththa 5 / 371 hadith no 1395
[3] Lihat Kamus Dewan edisi terkini ( edisi keempat) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka,Kuala Lumpur 2005
[4] Ibid halaman 786
[5] Ibid halaman 1037
[6] Ibid halaman 136
[7] Ibid halaman 1790
[8] Ibid halaman 20
[9] Ibid halaman 1478
[10] Lihat “Penjelasan Istilah Yang Boleh Membawa Penyelewengan Aqidah” terbitan JAKIM  2006, halaman 16.
[11] Kamus Dewan,op.cit; halaman 20
[12] Hadith ini telah dikeluarkan oleh Imam Ahmad didalam Musnadnya juz 51 halaman 242 hadith no 24085 daripada Abu Al-Nadhr daripada Abu ‘Aqil Al-Thaqafi daripada Mujalid ibn Sa’ad daripada ‘Amir daripada Masruq daripada ‘Aisyah R.A. .Hadith ini Shahih dan hadith ini juga telah dikeluarkan oleh Al-Tirmizi didalam Al-Syamail Al-Muhammadiyyah, dengan matan yang sama tetapi sedikit perubahan pada isnadnya bab 38 hadith no 242 halaman 173 daripada Al-Hasan ibn Shabbah Al-Bazzar daripada Abu Al-Nadhr daripada Abu ‘Aqil Al-Thaqafi daripada Mujalid ibn Sa’ad daripada Al-Sya’abi daripada Masruq daripada ‘Aisyah R.A. Menurut sanad yang kedua hadith ini Dhaif .
[13] Hadith ini telah dikeluarkan oleh Imam al-Thabarani didalam Mu’jam al-Ausath juz 13 halaman 325 hadith no 6247 daripada Muhammad ibn Yunus al-‘Ashfari daripada Yazid ibn ‘Amru ibn al-Barra; al-Ghanawi daripada Sa’id ibn Abdillah al-Sulami daripada ‘Ali ibn Abi Sarah daripada Thabit al-Bannani daripada Anas ibn Malik daripada ‘Aisyah r.a..
[14] Lihat kitab Dirasah Fi al-Sam’iyyat oleh Prof.Dr. al-Sayyid Muhammad ‘Aqil ibn ‘Ali al-Mahdali.
[15] Sila rujuk perbincangan ini didalam kitab al-Mukhtasar al-Mufid Fi Syarh Jauharah al-Tauhid oleh Syeikh Nuh ‘Ali Sulaiman al-Qudhoh (Mufti Jordan) halaman 155,lihat juga didalam Lihat “Penjelasan Istilah Yang Boleh Membawa Penyelewengan Aqidah” terbitan JAKIM  2006, halaman 16.

No comments:

Post a Comment